Saturday, June 2, 2012
Man Jadda Wajada
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera sahabat-sahabat semua khususnya kepada mahasiswi sama ada Muslim atau Non-muslim, sedar tak sedar kita kini hampir penghujung semester. Minggu ini adalah minggu ulangkaji pelajaran, ada juga pensyarah yang masih mahu meneruskan sesi belajar secara tak formal dalam kelas dek kerana tidak mahu membuang masa begitu sahaja dan minggu yang sibuk dengan lawatan subjek dan tak lupa minggu yang sarat dengan pembentangan projek lebih-lebih lagi kepada pelajar PSM (Projek Sarjana Muda). Sungguh cukup teruji.
Satu minggu lagi, kita akan bakal menempuhi medan jihad akademik, belajar hampir 4 bulan tapi diuiji diuji hanya dengan sehelai kertas putih selama beberapa jam sahaja. Sudah bersediakah kita?. Semakin hampir tarikh peperiksaan, semakin tinggi pula rasa bimbang dan takut. Situasi seperti ini adalah lumrah bagi sesiapa sahaja yang bakal menduduki peperiksaan. Jangan takut sahabat-sahabat, medan peperiksaan bukanlah segalanya bagi kita. Medan peperiksaan hanyalah tempat untuk menguji sejauhmana tahap kefahaman kita terhadap ilmu- ilmu yang telah kita pelajar.
Untuk berjaya tentu sekali memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, namun usaha yang serius perlu diiringi dengan sistem dan kaedah belajar yang terancang dan sistematik. Bukan pointer tinggi yang kita kejar, tetapi sejauh mana kita menghayati ilmu yang telah kita pelajari. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal (DUIT) merupakan kunci kejayaan bagi kita. Harus diingat juga, dikala kesibukan sahabat-sahabat dalam menghadapi exam, jangan dibiarkan diri sahabat-sahabat dibuai arus exam sehingga mengabaikan keadaan dan isu-isu semasa yang terjadi disekeliling. Jangan mengambil peluang untuk pergi ke tempat-tempat hiburan yang melalaikan sebagai alasan untuk melepaskan tekanan. Dalam Islam sudah dianjurkan bagaimana sebenarnya mengatasi tekanan iaitu dengan beribadah, berwudhuk, beriadah dan melihat kebesaran Sang Pencipta.
“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusuk” – al-Baqarah : 45
Akhir kalam, saya mendoakan agar kita semua dipermudahkan menjawab soalan peperiksaan yang bakal tiba dan mudahan segala apa yang kita pelajari di dalam kelas akan kita ingat semasa hendak menjawab soalan nanti. Semoga kejayaan milik kita bersama.
“Tiadalah sesuatu urusan itu mudah melainkan Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran itu mudah apabila Engkau kehendaki”.
Nukilan :
Saudari Nur Liyana Bt Jamil
Timbalan Pengerusi Helwani Kelab Iqra' UTHM sesi 2012/2013