Monday, January 14, 2013

Wahai Si Pencinta Sunnah Rasulullah~




…Bismillahirrahmanirrahim..
…Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…


Nak dapat pahala..senang tak?
Kalau saya tanya anda, mahukah anda mendapat pahala? Siapa yang tak mahu kan…orang yang tolong orang lain pun mengharap mendapat balasan yang baik hasil dari kebajikan yang dia sudah lakukan. Ibarat membeli biji benih bunga, kita akan mula menanamnya, menjaganya, dan kemudian mengharap suatu hari nanti biji benih itu akan tumbuh dan mengeluarkan bunga yang cantik. Jadi, pasti anda dan saya pun nak dapat pahala. Tapi, nak dapat pahala ni senang kah?
Nabi Muhammad S.A.W merupakan kekasih ALLAH S.W.T, orang yang paling mulia dalam kalangan manusia dan mempunyai akhlak yang terbaik serta perlakuan Rasulullah diakui tindakan yang terbaik. ALLAH menyatakan ketinggian akhlak S.A.W di dalam surah al-Qalam ayat 4;

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung

Perjalanan hidup seorang Muslim…

Di sini saya ingin kongsikan di antara sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W yang sangat sesuai dipraktikkan dalam kehidupan seharian, yang digarap daripada isi kandungan buku ilmiah ‘Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W’. Penulis dalam buku ini banyak merujuk kepada hadis-hadis sahih dari Rasulullah S.A.W yang menceritakan keadaan amalan beliau dalam kehidupan seharian dan kitab-kitab huraian hadis (syarah hadis). Wahai pencinta-pencinta Sunnah Rasulullah, sunnah yang anda lakukan kerana ALLAH dan kerana ingin mencontohi Rasulullah akan menjadi bukti cintamu terhadap baginda, Nabi kesayangan kita. Justeru, daripada mencontohi Rasulullah, kita akan mendapat pahala.

Allahumma Solli ‘Ala Saidina Muhammad…

Apabila Rasulullah bangun sahaja dari tidur, baginda akan menyapu kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan. Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar merekodkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan menggunakan tangan apabila bangun dari tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W ;

“Rasulullah S.A.W bangun daripada tidur lalu beliau duduk sambil menyapu kesan-kesan tidur pada wajahnya” (HR Muslim)

Memuji ALLAH sebaik sahaja sedar dari tidur yang lena, tak lena, tak cukup, ataupun terlebih tidur, merupakan amalan selepas bangun tidur yang Rasulullah amalkan. Bacalah doa bangun daripada tidur dan digalakkan bersugi ataupun menggosok gigi untuk mengembalikan kesegaran tubuh badan dan dapat membuang bau mulut yang tidak menyenangkan. Mudah kan nak dapat pahala?
Sabda Rasulullah S.A.W;

“Sekiranya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi setiap kali ingin solat” (HR Bukhari dan Muslim)

Kata baginda lagi dalam Hadis Riwayat Imam Ahmad;

“Bersugi adalah menyucikan mulut dan mendapat keredhaan ALLAH”

Amalan lain yang sering Rasulullah lakukan ialah, memakai kasut, memakai baju, makan dan minum, memasuki masjid, menyikat rambut dan sebagainya segalanya dimulakan atau dilakukan dengan menggunakan anggota kanan. Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W;

“Apabila kamu memakai pakaian hendaklah kamu memulakannya dengan anggota kanan” (HR Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah. Hadis ini adalah hadis sahih)

Apabila nak menanggalkan kasut, baju, keluar dari masjid dan memasuki tandas pula, baginda akan memulakan daripada anggota kiri. 

Dimulakan dengan bismillah~

Imam Nawawi berkata, “Digalakkan membaca Bismillah, memperbanyakkan membaca zikir dan memberi salam ketika masuk dan keluar rumah”. Berzikir ketika memasuki rumah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W;

Apabila seseorang memasuki rumahnya lalu ia menyebut nama ALLAH ketika ia masuk dan ketika ia makan syaitan akan berkata, “Tiada tempat untuk kamu menginap dan tiada tempat untuk kamu makan”. Jika ia masuk tanpa menyebut nama ALLAH, syaitan akan berkata, “Persilakan ini adalah tempat menginapmu” dan jika ia tidak menyebut nama ALLAH ketika makan syaitan akan berkata, “Dipersilakan kamu menginap dan makan” (HR Muslim)

Tahu tak, Rasulullah setiap kali ingin melakukan sesuatu, baginda akan memulakannya dengan membaca Basmalah. Membaca Basmalah bukan sahaja mencontohi Rasulullah, malah mencontohi ALLAH kerana di dalam al-Quran, ALLAH memulakan firman-Nya dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim. Pernah suatu ketika Rasulullah sedang solat, baginda membaca Bismillahirrahmirrahim sebanyak 21 kali. Apa lah agaknya yang Rasulullah rasakan ketika melafazkan kalimah Basmalah. Alangkah indah kalau kita dapat merasakan perasaan yang sama seperti perasaan Rasulullah ketika menyebut lafaz Basmalah tersebut.

Jom ke masjid atau surau!
Di dalam firman ALLAH S.W.T daripada surah At-Taubah, ayat 18;

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid ALLAH hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada ALLAH…”

Masjid atau surau ibarat nadi kepada kampung ataupun sesuatu tempat. Sekiranya nadi itu hidup, maka ‘bercahaya’ lah kampung itu, dan jikalau nadi itu lemah atau mati, maka ‘malap’ lah kerohanian kampung itu. Sunnah Rasulullah ketika pergi ke masjid termasuklah bersegera pergi ke masjid. Sabda Rasulullah S.A.W;

“ Sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya ganjaran yang terdapat pada seruan azan dan saf pertama dan mereka tidak dapat memperolehinya melainkan dengan mencabut undi, maka mereka akan mencabut undi untuk mendapat kelebihannya, dan sekiranya manusia mengetahui besarnya ganjaran solat Zohor di awal waktu, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan jika mereka mengetahui ganjaran Isyak dan Subuh nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak” (HR Bukhari dan Muslim)

Semasa hendak pergi ke masjid sebaik sahaja mendengar seruan azan dari tempat tinggal sendiri, ada sesetengahnya berjalan cepat lagi-lagi kalau bilal dah melaungkan iqamat. Tetapi sebaiknya, berjalan kakilah ke masjid dengan sopan dan tenang serta disunatkan memendekkan langkah dan tidak gopoh ke masjid. Pastinya anda dan saya akan mendapat ganjaran pahala berdasarkan dalil-dalil yang menerangkan tentang kelebihan melangkah ke masjid seperti sabda baginda S.A.W;

“Apabila kamu mendengar iqamah, hendaklah kamu berjalan bagi tujuan solat dan hendaklah kamu berjalan dengan sopan dan tenang”
“Mahukah kamu aku tunjukkan suatu amalan yang boleh menghapuskan dosa dan meningkatkan darjat?” Para sahabat bertanya, “Ya wahai Rasulullah!” Beliau memberitahu mereka antara amalan itu adalah banyak melangkah ke masjid”.
(HR Muslim)

Tegur menegur?

Sebagai seorang manusia yang hidup dalam keadaan bermasyarakat, tentunya kita sering bertemu dengan orang ramai sama ada orang itu dikenali namanya atau setakat wajahnya sahaja, ataupun ‘muka-muka baru’ yang muncul dalam diari kehidupan seseorang. Sunnah Rasulullah ketika bertemu sesama sendiri ialah memberi salam. Rasulullah S.A.W pernah ditanya;
“Apakah dia amalan Islam yang paling baik?” Baginda menjawab: “Kamu memberi makan kepada orang dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.” (HR Bukhari dan Muslim)

Beruntungnya menjadi seorang Muslim!

Dalam Islam, senyum pun dapat pahala. Mengapa pula? Sebab menghadiahkan senyuman itu suatu sedekah. Jika bertemu dengan orang, tak kira siapa pun, senyumlah…jangan terasa sakit hati kalau orang yang diberikan ‘sedekah’ tu tak nak senyum kembali dengan anda. Sabda Rasulullah S.A.W;

“Janganlah kamu meremehkan sesuatu kebaikan sedikitpun sekalipun ketika kamu bertemu saudara kamu dengan menunjukkan wajah yang manis” (HR Muslim)

Rasulullah S.A.W juga bersabda;
“Ucapan atau kata-kata yang baik itu adalah sedekah” (HR Bukhari dan Muslim)

Tambahan lagi, bersalaman ketika bertemu adalah digalakkan pada setiap masa kerana setiap kali bersalaman dengan saudara seIslam, ALLAH akan mengampunkan dosa kedua-duanya sebelum berpisah. 




Ada tak sunnah Rasulullah S.A.W semasa makan dan minum?

Ada…mestilah ada! Sunnah Sebelum dan Ketika Makan:
1       1)      Membaca bismillah
2       2)      Makan menggunakan tangan kanan
3       3)      Mengambil makanan yang berhampiran terlebih dahulu
4       4)      Mengambil suapan yang terjatuh, menyapunya dan memakannya semula
5       5)      Makan dengan tiga jari. Ini adalah kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W dan  inilah amalan yang paling baik ketika makan, kecuali ketika ada keperluan lain.

(Nota: Rasulullah makan dengan tiga jari kerana makanan yang baginda makan dengan menggunakan tiga jari ketika itu ialah buah kurma. Dalam Malaysia pada hari ini, kita kebiasaannya memakan nasi, maka tidak mengapa jika menggunakan semua jari. Sesuaikan sunnah Rasulullah mengikut suasana dan keadaan semasa. Wallahu’alam…)

Manakala selepas makan pula, Rasulullah selalu:
1    1)      Menjilat sisa-sisa makanan yang terdapat pada pinggan dan jari untuk mencari berkat sebab kita tidak tahu di manakah terdapatnya keberkatan dalam makanan yang kita makan
2    2)      Memuji ALLAH selepas makan

Sunnah Rasulullah Ketika Minum:
1    1)      Membaca Bismillah
2    2)      Minum dengan tangan kanan
3    3)      Bernafas di luar gelas ketika minum sebanyak tiga kali dan minum sekali
6    4)      Minum dalam keadaan posisi duduk
5    5)      Memuji ALLAH selepas minum



     “…Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’d; ayat 28)

        Dalam kehidupan sehari-hari, berusahalah untuk membaca al-Mathurat sama ada al-Mathurat Sughro (kecil atau pendek) ataupun al-Mathurat Kubro (panjang) selepas solat Subuh dan selepas usai solat Asar. Zikir-zikir, doa-doa, dan ayat-ayat al-Quran yang terdapat di dalam al-Mathurat mempunyai banyak kelebihan dan dapat menjadi pendinding diri pada waktu pagi dan petang. Perlu diingat, tanamkan keyakinan terhadap Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan perbaharuilah niat untuk melakukan sesuatu hanya kerana Dia,    ALLAH S.W.T.       

   Alahai…mengantuk pula…

       Mengantuk? Sebelum diri sendiri melelapkan mata, sucikan diri daripada hadas kecil. Selepas itu, eloklah kalau tempat tidur itu dilibas dahulu bak sabda Rasulullah S.A.W;

“      Apabila seseorang kamu masuk ke tempat tidur hendaklah ia mengibaskan tilamnya, kerana ia tidak mengetahui apa yang ada di atasnya” (HR Bukhari dan Muslim)

      Kemudian bacalah doa sebelum tidur, ayat tiga Qul, dan ayat Kursi. Sebaiknya, tidur di atas rusuk atau lambung kanan, dan meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan serta berzikirlah dengan membaca;
     
                SubhanALLAH, walhamdulillah, Wa la ilaha ilallah, wallahuakbar sehingga terlelap.

       Demikianlah antara sunnah Rasulullah sebelum tidur.

    Kesimpulan…
        Sebagai kesimpulannya, Islam sudah mengatur kehidupan seorang Muslim dengan tatalaku yang sangat tertib dan berupaya membentuk diri anda dan saya menjadi lebih teratur dan lebih berakhlak dengan mencontohi perlakuan seorang suri teladan yang baik iaitu Rasulullah S.A.W. Akhir kalam, simpanlah dalam fail memori kita petikan ayat al-Quran yang sangat menyentuh hati saya dan mungkin akan memberi kesan dalam hati anda juga, wahai muslimin dan muslimat, si pencinta sunnah Rasulullah. Moga dapat menjadi peringatan buat diri untuk terus istiqamah dalam mengikuti sunnah baginda.
      
             Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-‘Imran, ayat 31;
    “Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai ALLAH, (maka) ikutilah aku, nescaya ALLAH mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu,” ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang.”



                                                                        …Sekian…
…Wallahu’alam bissawab…


Oleh    :          
Nurul ‘Aisyah Binti Fadhlul Hadi
Lajnah Penerbitan dan Multimedia Kelab Iqra’