Pages

Saturday, July 21, 2012

Seribu Erti Dibulan Ramadhan


"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia
dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith 


Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Sabtu, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa
sunatnya sebagaimana lazimnya.


Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi  Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya. 

Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akanditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan orang yang teraniaya.

Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.

Surah Al-Baqarah yang bermaksud ayat 186: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''

 
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu. Allah jua sebaik-baik perancang.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.

Salam ramadhan dari kami Majlis Tertinggi HELWANI, moga ramadhan kali ini membawa seribu erti buat diri kita. Rebutlah peluang untuk kita kutip pahala dan ikhlaskan diri kita dalam melakukan segala kebaikan. Moga ada perubahan dalam diri kita samada ilmu, sahsiah, akhlak dan terutamanya ibadah kita bila berlalunya ramadhan kelak. Peringatan untuk diri saya juga dan sahabat-sahabat sekalian. 
Jom lakukan perubahan!! 

Wallahua’alam