PERUTUSAN RAMADAN OLEH PENGERUSI HELWANI KELAB IQRA' UTHM
Bismillahirrahmanirrahim.. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya kita bakal menempuhi bulan barakah iaitu Ramadhan Al-Mubarak yang tidak lama lagi akan kunjung tiba. Sama-sama lah kita panjatkan doa supaya kesempatan ini menjadi milik kita semua umat Islam bagi bertemu lagi ramadhan. Rasulullah seringkali berdoa: "Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan panjangkan umur kami sehingga bertemu dengan Ramadhan.”
Menurut ayat suci al-quran:
“ Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa ”.
Allah telah menggariskan Taqwa sebagai tunjang dan matlamat utama yang perlu dikejar oleh umat Islam. Dalam konsep berpuasa, bukan hanya menahan lapar dan dahaga semata dianjurkan, namun di bulan Ramadhan inilah merupakan kurniaan Ilahi buat Umat Rasulullah berlumba-lumba mengejar untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan perbanyakkan ibadat untuk peroleh pelbagai fadhilat untuk direbut oleh orang Muslim.
Bulan ramadhan merupakan bulan yang terbaik dan terdapat malam lailatulqadar yang terkandung di dalamnya ganjaran melebihi seribu bulan. Dalam menempuhi bulan pentarbiyahan umat islam ini, kita sebagai seorang mahasiswa tidak seharusnya terlepas daripada meningkatkan ibadat kepada Allah serta memperbaiki diri sekaligus dapat melahirkan seorang ilmuwan yang bertaqwa. Alasan tidak cukup masa untuk menelaah pelajaran tidak seharusnya timbul malahan boleh menjadi pendorong untuk kita sama-sama yang bergelar penuntut intitusi tinggi ini menjadi penuntut yang berdisiplin dalam pengurusan masa serta usaha ke arah seimbangkan dunia dan akhirat.
Peristiwa-peristiwa di zaman umat Islam terdahulu boleh kita ambil sebagai ibrah sepanjang menghadapi ramadhan nanti sepertimana umat Islam banyak diuji ketika Ramdhan. Peristiwa Badar Kubra, peperangan Buaib, peperangan Balat Syuhada' (Mossais la Bataille) serta banyak lagi peristiwa menunjukkan umat islam tidak lemah untuk berjihad ketika berpuasa.
Malahan bukti sejarah-sejarah Islam di mana berjayanya pembukaan Kota Mekah diketuai oleh Rasulullah, pembukaan Kepulauan Rhodes di Laut Mediterranean, kemenangan tentera Mesir mengalahkan tentera Yahudi di Terusan Suez serta kemenangan lain yang memang tidak asing lagi telah mencerminkan Ramadhan benar-benar bulan penuh rahmat dan berkah. Nah, mahasiswa yang intelek, mereka sudah berjaya, kita bila lagi ingin mencipta nama?
Bulan jihad dan bulan pengabdian diri kepada Allah ini hanya sempat kita kunjungi setahun sekali. Jadikan bulan ini sebagai platform untuk kita transformasikan diri sebagai seorang mahasiswa yang bertaqwa sesuai dengan visi dan misi hidup umat islam sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Dekatkan diri kepada Allah dengan banyakkan solat malam, tadarus al-Quran, tarawih, istigfar, sedekah, serta banyak lagi amalan yang dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah selain berjihad di medan kuliah. Jadikan ia sebagai latih tubi permulaan dan berterusan bagi meniti hari-hari penuh cabaran selepas Ramadhan.
Sebagai mahasiswa muslim kita seharusnya tidak beralasan lagi untuk tidak merebut peluang yang ada untuk meningkatkan keimanan dan mentarbiyah diri kita agar menjadi Muslim yang Mukmin. Kalau bukan kita sebagai mahasiswa Islam yang lebih cakna akan kedatangan Ramadhan ini,siapa lagi yang akan berusaha untuk menjulang Islam? Janganlah dibiarkan Ramadhan ini berlalu seperti bulan-bulan yang lain. Kita tidak mengetahui sama ada kita sempat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.
Salam Ramadan al-Mubarak 1432H/2011M dari saya selaku pengerusi Helwani Kelab Iqra’ UTHM ditujukan khas kepada semua warga UTHM.
Marhaban Ya Ramadhan!