Bagai irama dan lagu, wanita dan dunia kecantikan tidak boleh dipisahkan. Tampil dengan wajah yang kemas, cantik, dan menarik memang menjadi salah satu trend masa kini. Pesona wanita sejak dahulu hingga sekarang sebetulnya tidak pernah berkurang atau bertambah. Cuma bezanya pada zaman sekarang peranan wanita lebih bervariasi dalam pola kehidupan masyarakat, membuat wanita semakin menonjol untuk dibicarakan dan dibahas terutama oleh kaum lelaki.
Apabila berbicara tentang wanita, pastinya tidak terlepas daripada membahaskan soal penampilan dan kecantikan. Wanita cantik lazimnya menjadi idola, tarikan, kekaguman kepada sesiapa sahaja. Walaupun begitu dari abad ke abad, dari zaman kecantikan khas Nefertiti (permaisuri Firaun), Cleoopatra, Ratu Balqis dan ramai lagi hinggalah ke zaman yang serba moden ini, wanita selalu dianggap sebagai makhluk yang menyimpan berjuta misteri, terkadang terlihat menarik untuk diraih, namun sukar untuk ditakluk.
Kecantikan wanita itu bukan hanya dilihat dari segi fizikalnya sahaja malah kecantikan juga meliputi wawasan ilmu pengetahuan. Membaca adalah pintu melatih diri menganalisa sesuatu dan berfikir secara efektif.
Pada dasarnya kecantikan itu suatu konsep dengan multidefinisi. Ada yang menilai setiap wanita itu cantik, dan setiap wanita memilih keunikan tersendiri yang tidak dimiliki oleh wanita lain. Setiap wanita memiliki kecantikan yang berasal daripada hati dan jiwa serta bersifat semula jadi. Kecantikan seperti itu sering disebut sebagai 'inner beauty'.
Kecantikan seseorang merupakan paduan daripada banyak sekali karakteristik yang indah. Contohnya, sikap, etika, sopan santun, mandiri, kecerdasan, ketangkasan, humor, kemampuan bersosialis, kepekaan dan kasih sayang, pintar, murah hati dan sebagainya. Leonardo da Vinci pernah menyebutkan, 'Beauty adorns virtue'. Maksudnya sesiapapun akan memiliki kecantikan yang luarbiasa sekiranya dia bersedia mencantikkan hati dan jiwanya.
'Inner Beauty' akan lahir apabila....
i-Bijak mengawal amarah
*Belajarlah mengawal amarah atau keinginan untuk menyakiti orang lain, kerana sifat marah yang membuak-buak dalam diri akan mengurangi aura kecantikan. Dalam konteks ilmu kedoktoran ada menyatakan bahawa amarah yang berpanjangan tanpa dikawal boleh menyebabkan kerosakan sel saraf sebanyak 50,000 sel. Dikatakan waktu yang lama atau paling kurang 128 hari untuk memulihkan sel-sel tersebut seperti sediakala.
*Betapa cantik dan menarik pun fizikal seorang wanita itu, dia akan kelihatan sangat teruk dan menyebabkan apabila dirinya dikuasai marah atau nafsu untuk menyakiti orang lain. Maka binalah sikap dan berfikirlah secara positif. Aura kecantikan anda semakin bersinar terang dan diri anda akan kelihatan jauh lebih muda dan segar apabila anda selalu berfikiran positif.
ii-Mencintai Diri Sendiri
*Aura kecantikan diri juga akan terserlah apabila anda mencintai diri sendiri tanpa syarat. Apabila anda tidak mampu mencintai diri sendiri, maka anda pun tidak akan dapat mencintai dan menyayangi orang lain. Logiknya anda tidak akan dapat memberikan sesuatu yang tidak anda miliki. Cintailah diri anda sendiri terlebih dahulu, barulah anda akan bisa memancarkan cinta dan kasih sayang yang tulus dari dalam hati akan menjadikan seluruh aspek dalam diri anda kelihatan istimewa. Cinta dan kasih sayang akan memancarkan aura kecantikan anda yang luar biasa.
iii-Melakukan Visualisasi
*Selain mencintai diri sendiri, anda juga dapat memupuk kebaikan kepada orang lain dengan melakukan visualisasi. Caranya adalah dengan meluangkan beberapa waktu untuk membayangkan diri anda berkongsi kebaikan kepada orang lain. Lakukan visualisasi seperti itu walau di mana pun anda berada, kerana anda dapat meningkatkan energi cinta dan kasih sayang dari dalam diri sendiri. Semakin banyak cinta yang anda pancarkan tanpa syarat, maka semakin tinggi aura kecantikan yang anda miliki.
iv-Kedamaian Hati
*Satu perkara lagi untuk diperhatikan ialah kecantikan yang terpancar dari dalam hati yang damai. Aura kecantikan tidak timbul dari dalam jiwa yang kosong dan hampa. Hati yang damai tidak dapat digantikan oleh kekayaan dan keelokan tubuh dan wajah semata-mata, kerana semuanya itu tidak akan kekal lama. Bersyukur dan beribadah kepada Allah Yang Maha Esa merupakan aktiviti yang lebih menjanjikan kedamaian hati. Luangkanlah lebih banyak waktu untuk bersyukur dan beribadah kepada Allah s.w.t. Aura kecantikan akan terpancar lebih terang daripada seseorang yang memiliki kedamaian spiritual, di mana ia menemukan harapan baru, optimisme dan kebahagiaan hakiki.
*Pada dasarnya, penampilan memang penting supaya seorang wanita kelihatan rapi, cantik dan menarik. Tetapi karakteristik ini ternyata jauh lebih penting, kerana KECANTIKAN yang berasal daripada kemurnian hati dan jiwa lebih mudah menjadi pusat kekaguman kebanyakan orang. Maka jagalah diri dan 'inner beauty' anda.
Buku:Ada Apa pada Wanita
Penulis:Amina Noor