Pages

Friday, July 30, 2010

WARKAH UNTUK PUTERIKU

“Sukacita,  anda ditawarkan ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ”, berulang kali aku membaca keputusan yang disemak secara online pagi tadi.  Otak ku ligat berputar memikirkan untuk pergi atau  tidak. Sebabnya,pilihan pertamaku bukan di situ. SMS ku hantar kepada rakan- rakan  karibku yang  sama-sama belajar di kota metropolitan selama tiga tahun menghabiskan pengajian di peringkat Diploma. 

Kesedihanku bertambah, rakan-rakanku ada yang mendapat tawaran ke universiti pilihan kami bersama dan ada yang tidak berpeluang ke mana-mana lagi, ini bermakna kami akan berpisah. Aku luahkan pada  mak, berat rasa hati nak melangkah pergi. Lagi pula kampungku di utara tanah air, ini bermakna aku akan merantau dari utara ke selatan. Kata- kata seorang rakanku “jangan jadikan satu masalah atau perkara yang kita tidak ingini sebagai penyebab kepada kita mengabaikan perkara-perkara lain”. 

Ini bermakna jangan kerana bukan itu pilihan yang diinginkan, kita menolak peluang yang diberi. Seharusnya bersyukur kerana ada orang lain yang ingin belajar tapi tidak  berpeluang. Akhirnya, aku bulatkan jua hati untuk memasuki UTHM.

Semester pertama aku bermula dengan harapan dapat menerokai sesuatu sebagai input untuk diri ini. Minggu kedua kuliah, aku demam selama seminggu. Perkara  yang sentiasa berulang setiap kali aku mula menduduki tempat baru. Sama seperti semasa masuk ke sekolah teknik dan semasa memasuki peringkat diploma.  Perubahan persekitaran mempengaruhi kesihatanku, ini belum lagi ke luar negara yang sedia maklum keadaan cuaca yang berbeza. 

Akibat demamku, aku tertinggal satu sesi makmal bagi subjek elektrik yang diambil. Jadinya selepas baik dari demam, aku perlu menggantikan lab yang  terlepas. Aku menghubungi pensyarah subjek tersebut dan alhamdulilah dipermudahkan. Hikmah disebalik demam, aku dapat mendekati pensyarahku dan memudahkan untuk aku bertanya bila ada yang aku tidak faham di dalam kelas. Kebiasaannya, pelajar-pelajar baru akan bertanya pada senior-senior macam mana pensyrah itu dan ini. Lantas pelbagai andaian yang dapat, pensyarah  garang, susah nak bagi markah dan sebagainya. 

Namun bagiku, itu semua tidak perlu.

Pensyarah memberi input, kita sebagai pelajar  yang perlu memproses input yang diberi dan menggunakannya. Sistem akademik di setiap kampus kadang- kadang ada sedikit perbezaan. Justeru, pelajar semester pertama seperti aku ketika itu sedikit bimbang dan khuatir tidak dapat menguasai subjek-subjek yang di ambil. Apa yang menariknya, di UTHM penekanan pada teori dan praktikal yang seiring. Pelajar bukan sahaja menguasai teori-teori di dalam buku, malah di implementasi secara praktikal melalui makmal dan projek-projek subjek. Masih aku ingat, memilih bahasa Arab sebagai matapelajaran bahasa asing, sedang subjek-subjek eletrik  diberi projek, bahasa Arab juga tidak terlepas. 

Projek untuk bahasa asing ketika itu perlu membuat model kapal terbang menggunakan polisterine yang boleh di terbangkan, tema mengikut bahasa asing masing-masing. Jadinya, kapal terbangku harus bertemakan arabic. Jelas di sini, UTHM menekankan aplikasi teknologi daripada teori yang dipelajari dalam segenap bidang. Bukan suatu  perkara yang mudah, merekacipta model kapal terbang bagi pelajar yang bukan mengambil jurusan tersebut. Alhamdulilah projek kapal terbang menjadi dan mendapat pingat perak dalam minggu bahasa asing.



Dalam  aku  menjalani kuliah, aku pernah diajak oleh senior di kolej untuk menghadiri program yang dianjurkan oleh sebuah  kelab di UTHM.  Isi ucapan  yang biasa kita dengar, jangan  jadi  mahasiswa 3 K. Kuliah, Kolej, Kafe sahaja tanpa melibatkan diri dengan aktiviti luar . Jadinya, kalau ada masa lapang pada hujung minggu aku mengikuti Kelas Pengajian Iqra’ yang di anjurkan oleh Kelab Iqra di kampus ini. Mulanya,  aku  berfikir kelas ini untuk belajar membaca Iqra’ sahaja. Sangkaan ku meleset, rupanya kelas tersebut  merangkumi kuliah umum, riadah dan bengkel akademik  juga. Semasa cuti akhir semester tersebut aku juga mengikuti Kem Remaja Islam ,“KRISS” yang di anjurkan oleh kelab tersebut. 

Bermula dari situ, aku mendapat ramai kenalan daripada fakulti  yang berbeza. Sejak dari itu, aku tidak segan lagi untuk hadir ke program kerana ada teman-teman yang hadir bersama dan mendapat pengisian rohani serta peringatan-peringatan yang seharusnya seorang ynag bergelar umat Islam untuk dilaksanakan . “ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah: 208). 
 
Pengurusan masaku diatur baik untuk memastikan kecemerlanganku bukan dari segi akademik, malah dari segi amalan dan akhlakku  juga. Ustaz pernah pesan dahulu, Orang berilmu tidak menjadi insan yang bahagia jika tidak beramal. Malah kebahgiaan akan berkekalan jika segala kudrat kita adalah untuk Islam. Waktu  malam, Maghrib dan Isyak aku peruntukkan  untuk bersama-sama sahabat di surau kolej berdekatan  dengan kolejku yang peghuninya hanya siswi sahaja. Masa diisi dengan solat berjemaah, tadarus Al-Quran dan tazkirah sebagai peringatan bersama. “Harus diingat, dalam kesibukan menuntut ilmu dunia,jangan di tinggalkan ilmu akhirat sebagai bekalan menju hari kematian”, pesan mak pada kami adik beradik.
 
Catatanku usai di sini. Insya-Allah, aku akan terus mencoret coretan ini untuk kawan-kawan ku yang jauh di mata. Andai ku diberi peluang untuk memberi nasihat dan panduan kepada mahasiswa-mahasiswi baru UTHM, akan ku khabarkan keseronokan menimba ilmu di UTHM dengan berbekalkan iman dan baik budi pekerti.