Pages

Thursday, March 29, 2012

ILMU VS KEBERKATAN

Bismillahirahmaanirahim..
Assalamualaikum w.b.t
Buat warga kampus saya doakan sentiasa dalam keadaan sihat dan keberkatanNYA. Minggu Ujian 1 @ test 1 bagi pelajar degree sedang, telah dan akan berlangsung, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya. Kita doakan bersama-sama semoga dipermudahkan dalam menjawab soalan dan ikhlaskan niat kita terutamanya supaya segala ilmu yang kita terima & kongsi sentiasa dalam keredhaan & keberkatanNya.


Keberkatan? Bagaimana mendapatkan keberkatan dalam menuntut ilmu ?
Di kesempatan ini, saya ingin kongsikan beberapa metod mencari keberkatan dalam menimba ilmu.

Pertama : Ikhlaskan niat.
Ilmu dunia atau akhirat , ia adalah ilmu Allah s.w.t dan ikhlaskanlah niat dalam menuntutnya supaya ia bermanfaat dalam kehidupan kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”
Riwayat Abu Daud

Kedua : Jauhilah perkara maksiat @ elakkan daripada akhlak yang dikeji.

Ilmu adalah cahaya & akan mendekati orang melakukan akhlak terpuji.
Di sini saya ingin tekankan mengenai adab berikhtilat .Apa itu ikhtilat?
Dari sudut bahasa ikhtilat ialah mencampurkan atau mengaul sesuatu dan dari sudut syara' pencampuran lelaki dan perempuan pada sesuatu tempat dalam bentuk bersendirian atau berkumpulan.


Pergaulan antara lelaki dan perempuan hukumnya haram tetapi terkecuali dalam keadaan dharurat dan keperluan. Anda boleh semak bagaimana Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya `al-mufassat fi al-mar ah’ yang masyhur mengariskan keadaan yang terkecuali itu.
Oleh yang demikian ketika menuntut ilmu atau belajar berkumpulan jagalah ikhtilat, di samping itu jujur (tidak meniru ketika test @ final) supaya ilmu yang kita terima dan juga kehidupan kita penuh dengan keberkatan.

Sabda Rasulullah s.a.w:”Tidak ada seorangpun yang berada di dalam satu kaum yang mengetahui mereka melakukan kemaksiatan sedangkan ia berkuasa untuk mencegahnya maka Allah akan menurunkan azab kepada mereka sebelum mereka mati.”
Riwayat Abu Daud
Ketiga : Hormati ibubapa dan guru/pensyarah
Jagalah hubungan kiata dengan ibubapa dan juga pensyarah supaya Allah s.w.t juga akan menjaga hubungan kita denganNYA.

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
  Riwayat al-Hakim
Keempat : Berusaha, berdoa & bertawakal kepada Allah s.w.t

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”
Riwayat Ibn an-Najjar
 

InsyaAllah, empat kaedah yang saya cuba kongsikan kepada anda semua yang kita sam-sama cuba berusaha mengamalkannya dan doakan ilmu yang kita perolehi ada keberkatanNYA.

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberi ilmu (agama) beberapa derajat.” (Al-Mujaadilah:11)

Wallahua'lam .

Nukilan: Pengerusi HELWANI sesi 2012/2013
Nur Amirah Najwa Bt Ghazali

Monday, March 12, 2012

Salam Imtihan

 Bismillahirahmanirahim...


Buat pelajar pengajian diploma yang sedang menghadapai peperikasaan akhir,

semoga berjaya menjawab peperiksaan, pastikan ada usaha, doa dan tawakal.

Jangan kita rasa menyesal dan putus asa tapi percaya dan yakin bahawa Allah s.w.t telah memberikan yang terbaik buat kita.

Thursday, March 8, 2012

*PERSIAPAN PARA PENDAKWAH KAMPUS


*PERSIAPAN PARA PENDAKWAH KAMPUS

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Para Pendakwah kampus jadilah seperti adik ini, jiwanya suci tanpa dosa
Persiapan Para Da’ie kepada Allah s.w.t..

Dakwah merupakan antara asas kewajiban yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Muhammad Rasulallah s.a.w yang ummi telah menyeru di atas kemuncak bukit safa, Mekah:

“Wahai sekelian manusia sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu sekelian, yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan yang mematikan. Berimanlah dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekelian kepadaNya moga-moga kamu mendapat petunjuk”
(Surah Al ‘Araf ayat 158)

Dakwah yang dibawa oleh Rasulallah s.a.w merupakan satu garis pemisah di seluruh alam di antara zaman yang gelap gelita kejahilan dengan zaman yang akan datang yang bersinar dengan cahaya keimanan. Dakwah yang disampaikan oleh Rasulallah s.a.w dibawa bersamanya khabar gembira dan peringatan kepada manusia dengan disediakan bersama Al Quran yang terang bersinar. Perkara inilah yang diteruskan usahanya oleh Para Sahabat Rasulallah s.a.w daripada orang muhajirin dan ansor serta semua pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan penuh ihsan.

Muqaddimah yang diutarakan sekadar untuk memahamkan para pembaca bahawa apabila kita cuba meletakkan diri sebagai golongan Da’ie kepada Allah s.w.t. Asas pertama yang perlu ditanam di dalam diri ialah dakwah bukan suatu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah s.w.t yang tidak ada ciptaannya yang lebih baik selain dariNya. Firman Allah s.w.t;

“Sebelumnya kamu tidaklah mengatahui apakah al-Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi kami menjadikan Al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaanNya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan.”
(Surah As Syura: 52-53)

Dapat difahami bahawa urusan yang cuba kita letakkan pada diri kita yakni berdakwah ianya merupakan urusan yang diperintahkan kepada hambaNya. Sehinggakan Allah s.w.t hendak menunjukkan betapa utamanya untuk menjadi seorang pendakwah. Maka, Dia s.w.t menjadikan makhluk yang paling dikasihiNya menjadikan urusan dakwah merupakan perkara yang utama kepada dirinya. Sirah telah menunjukkan, keperitan dan kesusahan yang ditempuhi sepanjang kehidupan Rasulallah s.a.w asasnya adalah kerana Rasulallah s.a.w menjadikan dakwah sebagai urusan terbesar di dalam hidupnya. Maka, perkara yang penting dilakukan oleh mereka yang hendak menjadi da’ie kepada Allah s.w.t ialah membuat bekalan untuk menghadapi mehnah dan tribulasi di dalam berdakwah.

Penulis suka mengecilkan perbincangan di dalam skop sebagai seorang pelajar universiti yang cuba meletakkan diri sebagai pendakwah seperti Rasulallah s.a.w. 

Di antara perkara utama yang wajib dipenuhi di dalam jiwa seorang pendakwah kampus. Pertama, menambahkan ilmu pengatahuan terutamanya di dalam mendalami pengatahuan kepada Allah s.w.t. Ilmu Tauhid perlu ditambah di dalam jiwa supaya keyakinan terhadap perjuangan menjadi utuh sekalipun banyak musibah menimpa diri. Seterusnya, ilmu Islam ataupun imu fekah perlu diluaskan supaya dakwah kita tersusun mengikut keutamaan seperti mana yang dianjurkan oleh syiekh Yusuf Al Qaradhawi di dalam Fiqh ‘Aulawiyat dan terakhirnya ilmu tasawwuf yang bakal menatijahkan jiwa pendakwah yang beradab dan sopan santun. Ketiga-tiga sendi ilmu ini wajar kita tambah di dalam jiwa seorang pendakwah kampus. Barulah semua perancangan gerakan islam dapat dilaksanakan dengan bantuan Allah s.w.t kerana Allah s.w.t akan menbantu mereka yang membantu agamaNya.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
( Surah Muhammad:7)
Ya!. Perjuangan ini memang meletihkan. Maka carilah Allah s.w.t untuk membantumu. Jika ia suatu perjalanan yang senang dan tanpa liku-liku pasti ramai yang ingin menyertainya. Tapi, perjuangan itu memang penuh dengan duri dan ranjau. Mana mungkin ramai yang menyertainya, bukan? Kecuali orang-orang yang beriman sahaja.
Kedua, perkara yang wajar dilazimi oleh pendakwah kampus ialah menjadikan solatnya seperti solat para sahabat r.hum. Para Sahabat r.hum mendirikan solat mereka di awal waktu setiap waktu solat, mereka r.hum mendirikan solat mereka setiap waktu di masjid, mereka r.hum mendirikan solat mereka secara berjema’ah setiap waktu dan setiap kali mereka mendirikan solat, solat mereka dihiasi dengan khuysuk kepada Allah s.w.t. Para Sahabat r.hum melazimi perkara ini lantaran mereka memahami bahawa urusan dakwah dipehuni dengan segala mehnah dan tribulasi yang menghalang.

Maka, Allah s.w.t mengajar untuk meminta bantuan denganNya melalui firmanNya “Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',” (Surah Al Baqarah: 45) Sehubungan itu, para pendakwah kampus wajar menjadikan masjid merupakan tempat kunjungannya setiap hari lima waktu. Sekiranya, di waktu sidang pembelajaran seringkali kedengaran sibuk dengan akademik dan sebagainya. Maka, apa alasanya untuk waktu senggang untuk tidak melazimi rumah Allah s.w.t. Jangan jadikan alasan tugasan kuliah untuk menghalang anda untuk tidak berjema’ah di masjid.

Carilah ikhtiar untuk mengubah diri untuk melazimi rumah-rumah Allah s.w.t. Kerna natijahnya, apabila kita berjaya melatih diri untuk beriltizam dengan rumah Allah s.w.t selama ini. InsyaAllah , Allah s.w.t akan memudahkan urusan anda kelak. Barulah segala halangan yang memimpa bakal dihadapi dengan tenang dan tidak akan berpatah arah dalam perjuangan kerana keyakinan utuh kepada Allah s.w.t hasil istiqamah dengan rumah Allah s.w.t

Ketiga, jadikanlah waktu yang lapang untuk kita menambahkan amalan kita kepada Allah s.w.t. Banyakkanlah menbaca Al Quran, cuba menghafaz ayat-ayat Allah s.w.t, lazimi diri dengan Qiamulail, tambahlah bacaan buku-buku haraki dan paling utama dampingilah Para Alim ‘Ulama supaya keberkatan mereka melimpah kepada kita. Para pendakwah kampus, sering kita beralasan diwaktu sesi pembelajaran. Akademik kita merupakan alasan terbesar untuk kita tidak melazimi perkara yang disebutkan. Maka, inilah masa yang terbaik untuk kita sama-sama mengubahnya.

Sebagai Akhirnya, penulis mengajak diri sendiri dan para pembaca untuk kita sama-sama mengislahkan diri menjadi hamba Allah s.w.t yang ta’at dan cinta untuk beribadah kepadaNya. Masyarakat di sekeliling kita amat dahagakan seruan kita menyeru kepada Allah s.w.t. Maka, apabila kita telah dipilih oleh Allah s.w.t. Gunakanlah peluang yang ada untuk menjadi mereka yang terbaik menyeru manusia memilih Allah s.w.t di dalam kehidupan. Supaya suasana kampus kita mengikuti lunas-lunas yang diinginkan oleh Allah s.w.t. Semoga hidayah, taufiq dan inayah Allah s.w.t bersama kita serta semoga kita sentiasa diperhatikan oleh Rasulallah s.a.w di dalam keadaan beriman kepada Allah s.w.t.
Allahu wa Rasulu ‘Alam

Nukilan : Nur Liyana Jamil, Timbalan Helwani Kelab Iqra' Sesi 2012/2013

Helwani sesi 2012/2013

Tahniah & Takziah di atas perlantikan barisan kepimpinan Helwani Kelab iqra'.
Selamat berjuang!

Kepimpinan Helwani Kelab Iqra' 2012/2013

Pengerusi Helwani
Nur Amirah Najwa Bt Ghazali
FKAAS

Timbalan Pengerusi Helwani
Nur Liyana Bt Jamil
FKEE

Setiausaha Helwani
Nurul Asyikin Bt Abd Latip
FPT

Bendahari Helwani
Nurul Nadiah Bt Abd Latiff
PPD



Tahniah & Takziah juga kepada barisan kepimpinan Kelab Iqra' sesi 2012/2013
semoga terus istiqamah dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat kampus.

Tuesday, February 7, 2012

Semalu

Cuba tengok pokok ni. Apa nama pokok ni?" Faris Haikal cuba menguji minda anak muridnya.

"Pokok semalu." Serentak mereka menjawab.


"Wah! Pandai adik-adik mu'alim ni. Siapa tahu apa kelebihan pokok ni?" Faris Haikal tersenyum melihat karenah anak-anak yatim itu. Semuanya bersemangat untuk mendengar syarahan darinya.


"Hmm. Susah la soalan tu. Oh, ya tapi Zaki rasa mungkin sebab dia pemalu. Dulu arwah mak pernah tunjuk pokok ni kat Zaki," jawab Zaki seorang penghuni rumah anak yatim yang baru berusia dalam lingkungan 10 tahun dengan bersemangat.


"Aduhai, cute sungguh adik mu'alim ni. Betul jugak jawapan Zaki tu. Kalau antum semua nak tahu, identiti utama pokok semalu atau nama saintifiknya mimosa pudica ini ialah daunnya akan menguncup serta terkulai apabila disentuh dan akan kembang semula selepas beberapa minit. Apa yang boleh kita kaitkan dengan pokok ni? Boleh bagi contoh tak, emm... Siddiq?" Faris Haikal terus mengutarakan soalannya kepada Siddiq, memandangkan dia seolah-olah tidak memberikan perhatian pada kelas yang sedang berlangsung itu. Mungkin kerana umurnya lebih tua daripada kanak-kanak lain yang tinggal di Darul Izzah ini. 17 tahun, pasti jiwa remajanya bergolak, tambahan pula dia baru sahaja ditempatkan disini setahun yang lepas setelah kematian kedua ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.


"Bagi saya. Pokok semalu ni macam prempuan!" Semua terus mengalihkan mata tepat pada wajah Siddiq. Begitu lantang sekali Siddiq mengutarakan jawapannya.


"Wah, bagus jawapan tu. Cuba Siddiq terangkan kenapa Siddiq kata pokok semalu ni macam perempuan?" Faris Haikal menduga pemikiran anak muda itu kerana teruja dengan jawapan yang diberikan sebentar tadi. Jawapan yang lantang itu cukup tersembunyi dengan makna yang tersirat.


"Yela, perempuan kan seharusnya ada sifat malu dalam diri mereka. Pokok ni pulak kalau kita tengok, bila kita sentuh je dia tertutup. Ini menunjukkan yang dia nak 'protect' diri dia. Tapi, perempuan zaman sekarang kebanyakannya muka tak tahu malu!" Bukan main tegas cara Siddiq menjawab soalan itu. Mungkin pernah mengalami sesuatu dalam hidupnya yang berkaitan dengan wanita. Mungkin.


"Betul! Pokok semalu ni orang ibaratkan seperti wanita. Orang perempuan yang pakai tudung, menutup aurat dengan sempurna dan punyai sifat malu tidak akan membenarkan dirinya disentuh lelaki ajnabi. Kalau orang nak sentuh, dia akan melindungi dirinya sengan segera, maka itulah yang dinamakan malu," terang Faris Haikal sambil mengukir senyuman.


Adik-adik Darul Izzah pula mengangguk-anggukan kepala isyarat memahami penjelasan itu.


"Oo..tapi, kalau pokok semalu ni dah tutup tapi orang masih nak pegang dia macam mana mu'alim?" Aiman yang sedari tadi diam, tiba-tiba bersuara. Faris Haikal tersenyum lembut.


"Tangan orang yang degil itu akan luka sebab pokok semalu ni ada duri!" Faris Haikal menangkis hujah Aiman menggunakan pendekatan yang berhikmah.


"Habis, kalau orang tu cabut pokok ni macam ni?" Soal Aiman sambil berdemo seakan-akan dia ingin mencabut pokok semalu tersebut dengan tujuan untuk melontar provokasinya terhadap jawapan Faris Haikal.

"Dia akan dihukum oleh Allah! Tangan yang mencabut itu akan menerima seksaan-Nya!" Tegas jawapan Faris Haikal. Semua terdiam. Terkejut dan takut dengan jawapan itu. Aiman segera mendepakan tangannya. Tidak jadi untuk mencabut pokok semalu yang sudah mahu digenggamnya. Mereka semua setuju dengan jawapan yang diberikan. Ringkas. Padat dengan ibrah yang bermanfaat. Kelas hari ini berakhir dengan penuh pengertian. Masing-masing giat berfikir tentang ilmu alam. Sunnatullah di dunia ini pasti mempunyai hikmah yang amat bermaknabuat manusia sejagat.


Kiriman : Saidah Anwar , Ahli Kelab Iqra' & Helwani

Mari Kenali Rasulullah s.a.w



Bismillahirahmanirahim…

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kepada Allah s.w.t  serta memperbanyakkan pujian kepada Allah s.w.t. Segala pujian hanya layak kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga dan para sahabat baginda yang telah mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Bersempena dengan 12 Rabiulawal 1433H iaitu 5 Feb 2012, umat Islam diperingatkan mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w dan juga kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ‘ St.. Valentino‘ daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru,berikut adalah biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW. 

BIODATA RASULULLAH SAW 
Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim 
Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah) 
Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah 
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim 
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf 
Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) 
Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab) 
Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w dicatatkan dengan peristiwa pelanggaran tentera bergajah yang dipimpin Abrahah untuk memadamkan sinar di ka’bah dan pelbagai keajaiban yang berlaku pada waktu kelahiran itu. Manakala peristiwa kewafatan baginda memberi kesan emosi yang mendalam kepada para sahabat dan seluruh umat baginda. Namun begitu, pemergian baginda lebih penting, turut meninggalkan khazanah ilmu dan panduan kepada manusia untuk hidup di muka bumi ini yakni Al-Quran dan Sunnah.




KRONOLOGI
USIA 5 TAHUN 
 Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di 
dalamnya.

USIA 6 TAHUN 
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah) 
 Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN 
 Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. 
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun). 
 Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. 
 Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN 
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. 
Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN 
 Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. 
Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.. 
 Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. 
 Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


USIA 35 TAHUN 
 Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. 
 Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. 
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan 
batu tersebut.

USIA 40 TAHUN 
Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN 
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. 
 Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 
24 September 622M.

USIA 63 TAHUN 
 Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.
Semoga sedikit perkongsian biodata dan kronologi dari seorang sahabat ini dapat menambahkan rasa cinta dan rindu kita pada RASULULLAH bersempena Maulidur Rasul pada 2012 ini.

Sabda Rasulullah SAW: 
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Nukilan : Nur Amirah Najwa, Ahli Kelab Iqra' & Helwani

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir



Untuk Berjaya, 
Anda MESTI Buat 2 Perkara!

Musim peperiksaan datang lagi pada bulan 1 ini, demam exam mula menyerang. Untuk sahabat-sahabat di luar sana, teruskan usaha anda dalam menelaah pelajaran, jangan sekali-kali berputus asa. Teringatku dengan kata-kata ustaz Ruslami ketika program Munajat Perdana baru-baru ini, yang wajib adalah IKHTIAR, lepas itu, barulah tawakkal sebab kejayaan itu, Allah S.W.T juga yang tentukan. Pepatah mengatakan kejayaan tidak datang bergolek, tetapi kejayaan datang hasil daripada usaha dan tawakkal kita kepada Allah S.W.T.
Jadi ,di sini aku ingin kongsikan sedikit pengalaman orang yang telah berjaya. Paul Getty, seorang bilionaire minyak Amerika Syarikat.
Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu membuat dua perkara: 
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR 
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!
Nasihat dan saranan ini amat berguna kerana ianya datang daripada seorang yang amat berjaya dalam perniagaannya. Paul Getty membuat kesimpulan ini berdasarkan pengalamannya sebagai seorang usahawan yang bermula sejak dari peringkat bawah hinggalah menjadi seorang bilionaire minyak. 
Sebelum mencapai kejayaan, beliau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan yang amat mencabar. Namun, wawasannya yang besar serta semangat beraninya yang begitu tinggi menjadi asas pemacu utama kejayaan Paul Getty. Beliau tidak mengenal erti putus asa. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan kepadanya supaya memberhentikan sahaja usahanya yang banyak mengalami kegagalan. Namun, semangat wajanya tetap utuh.
Mencari telaga minyak bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan usaha pencarian dan penggalian yang memerlukan teknologi yang tinggi dan semangat jitu. Pada masa itu, teknologi pencarian dan penggalian minyak masih agak primitif. Namun, semangat menyala-nyala beliau yang sukar dipadamkan, serta keberanian, usaha gigih dan keyakinannya yang begitu tinggi akhirnya membawa kejayaan besar kepada Paul Getty dalam bidang perniagaan.

Beliau juga telah meluaskan operasi perniagaannya dengan menjadi pengimport minyak dari negara-negara Timur Tengah. Pengluasan perniagaannya dari segi geografi juga adalah selaras dengan wawasan besar dan semangat berani beliau.
Daripada cebisan kisah hidup Paul Getty ini dapatlah kita simpulkan bahawa: 
  • Kejayaan tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan nasib. 
  • Untuk mencapai kejayaan, matlamat kita mestilah jelas; berani mencapainya dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dan putus asa.
Matlamat jitu merupakan asas dan kompas menjana kejayaan. Ianya merupakan tunjang pendorong, agar kita tidak mengenal erti putus asa, kecewa dan malas berusaha. Kejayaan dan kesenangan hidup hanya dapat dicapai melalui keberanian dan usaha gigih. Jadi, kita mesti ada ‘target’ untuk mendapat keputusan yang flying colours. Good Luck sahabat-sahabat...