Pages

Tuesday, February 7, 2012

Semalu

Cuba tengok pokok ni. Apa nama pokok ni?" Faris Haikal cuba menguji minda anak muridnya.

"Pokok semalu." Serentak mereka menjawab.


"Wah! Pandai adik-adik mu'alim ni. Siapa tahu apa kelebihan pokok ni?" Faris Haikal tersenyum melihat karenah anak-anak yatim itu. Semuanya bersemangat untuk mendengar syarahan darinya.


"Hmm. Susah la soalan tu. Oh, ya tapi Zaki rasa mungkin sebab dia pemalu. Dulu arwah mak pernah tunjuk pokok ni kat Zaki," jawab Zaki seorang penghuni rumah anak yatim yang baru berusia dalam lingkungan 10 tahun dengan bersemangat.


"Aduhai, cute sungguh adik mu'alim ni. Betul jugak jawapan Zaki tu. Kalau antum semua nak tahu, identiti utama pokok semalu atau nama saintifiknya mimosa pudica ini ialah daunnya akan menguncup serta terkulai apabila disentuh dan akan kembang semula selepas beberapa minit. Apa yang boleh kita kaitkan dengan pokok ni? Boleh bagi contoh tak, emm... Siddiq?" Faris Haikal terus mengutarakan soalannya kepada Siddiq, memandangkan dia seolah-olah tidak memberikan perhatian pada kelas yang sedang berlangsung itu. Mungkin kerana umurnya lebih tua daripada kanak-kanak lain yang tinggal di Darul Izzah ini. 17 tahun, pasti jiwa remajanya bergolak, tambahan pula dia baru sahaja ditempatkan disini setahun yang lepas setelah kematian kedua ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.


"Bagi saya. Pokok semalu ni macam prempuan!" Semua terus mengalihkan mata tepat pada wajah Siddiq. Begitu lantang sekali Siddiq mengutarakan jawapannya.


"Wah, bagus jawapan tu. Cuba Siddiq terangkan kenapa Siddiq kata pokok semalu ni macam perempuan?" Faris Haikal menduga pemikiran anak muda itu kerana teruja dengan jawapan yang diberikan sebentar tadi. Jawapan yang lantang itu cukup tersembunyi dengan makna yang tersirat.


"Yela, perempuan kan seharusnya ada sifat malu dalam diri mereka. Pokok ni pulak kalau kita tengok, bila kita sentuh je dia tertutup. Ini menunjukkan yang dia nak 'protect' diri dia. Tapi, perempuan zaman sekarang kebanyakannya muka tak tahu malu!" Bukan main tegas cara Siddiq menjawab soalan itu. Mungkin pernah mengalami sesuatu dalam hidupnya yang berkaitan dengan wanita. Mungkin.


"Betul! Pokok semalu ni orang ibaratkan seperti wanita. Orang perempuan yang pakai tudung, menutup aurat dengan sempurna dan punyai sifat malu tidak akan membenarkan dirinya disentuh lelaki ajnabi. Kalau orang nak sentuh, dia akan melindungi dirinya sengan segera, maka itulah yang dinamakan malu," terang Faris Haikal sambil mengukir senyuman.


Adik-adik Darul Izzah pula mengangguk-anggukan kepala isyarat memahami penjelasan itu.


"Oo..tapi, kalau pokok semalu ni dah tutup tapi orang masih nak pegang dia macam mana mu'alim?" Aiman yang sedari tadi diam, tiba-tiba bersuara. Faris Haikal tersenyum lembut.


"Tangan orang yang degil itu akan luka sebab pokok semalu ni ada duri!" Faris Haikal menangkis hujah Aiman menggunakan pendekatan yang berhikmah.


"Habis, kalau orang tu cabut pokok ni macam ni?" Soal Aiman sambil berdemo seakan-akan dia ingin mencabut pokok semalu tersebut dengan tujuan untuk melontar provokasinya terhadap jawapan Faris Haikal.

"Dia akan dihukum oleh Allah! Tangan yang mencabut itu akan menerima seksaan-Nya!" Tegas jawapan Faris Haikal. Semua terdiam. Terkejut dan takut dengan jawapan itu. Aiman segera mendepakan tangannya. Tidak jadi untuk mencabut pokok semalu yang sudah mahu digenggamnya. Mereka semua setuju dengan jawapan yang diberikan. Ringkas. Padat dengan ibrah yang bermanfaat. Kelas hari ini berakhir dengan penuh pengertian. Masing-masing giat berfikir tentang ilmu alam. Sunnatullah di dunia ini pasti mempunyai hikmah yang amat bermaknabuat manusia sejagat.


Kiriman : Saidah Anwar , Ahli Kelab Iqra' & Helwani

Mari Kenali Rasulullah s.a.w



Bismillahirahmanirahim…

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kepada Allah s.w.t  serta memperbanyakkan pujian kepada Allah s.w.t. Segala pujian hanya layak kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga dan para sahabat baginda yang telah mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Bersempena dengan 12 Rabiulawal 1433H iaitu 5 Feb 2012, umat Islam diperingatkan mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w dan juga kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ‘ St.. Valentino‘ daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru,berikut adalah biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW. 

BIODATA RASULULLAH SAW 
Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim 
Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah) 
Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah 
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim 
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf 
Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) 
Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab) 
Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w dicatatkan dengan peristiwa pelanggaran tentera bergajah yang dipimpin Abrahah untuk memadamkan sinar di ka’bah dan pelbagai keajaiban yang berlaku pada waktu kelahiran itu. Manakala peristiwa kewafatan baginda memberi kesan emosi yang mendalam kepada para sahabat dan seluruh umat baginda. Namun begitu, pemergian baginda lebih penting, turut meninggalkan khazanah ilmu dan panduan kepada manusia untuk hidup di muka bumi ini yakni Al-Quran dan Sunnah.




KRONOLOGI
USIA 5 TAHUN 
 Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di 
dalamnya.

USIA 6 TAHUN 
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah) 
 Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN 
 Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. 
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun). 
 Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. 
 Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN 
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. 
Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN 
 Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. 
Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.. 
 Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. 
 Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


USIA 35 TAHUN 
 Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. 
 Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. 
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan 
batu tersebut.

USIA 40 TAHUN 
Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN 
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. 
 Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 
24 September 622M.

USIA 63 TAHUN 
 Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.
Semoga sedikit perkongsian biodata dan kronologi dari seorang sahabat ini dapat menambahkan rasa cinta dan rindu kita pada RASULULLAH bersempena Maulidur Rasul pada 2012 ini.

Sabda Rasulullah SAW: 
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Nukilan : Nur Amirah Najwa, Ahli Kelab Iqra' & Helwani

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir



Untuk Berjaya, 
Anda MESTI Buat 2 Perkara!

Musim peperiksaan datang lagi pada bulan 1 ini, demam exam mula menyerang. Untuk sahabat-sahabat di luar sana, teruskan usaha anda dalam menelaah pelajaran, jangan sekali-kali berputus asa. Teringatku dengan kata-kata ustaz Ruslami ketika program Munajat Perdana baru-baru ini, yang wajib adalah IKHTIAR, lepas itu, barulah tawakkal sebab kejayaan itu, Allah S.W.T juga yang tentukan. Pepatah mengatakan kejayaan tidak datang bergolek, tetapi kejayaan datang hasil daripada usaha dan tawakkal kita kepada Allah S.W.T.
Jadi ,di sini aku ingin kongsikan sedikit pengalaman orang yang telah berjaya. Paul Getty, seorang bilionaire minyak Amerika Syarikat.
Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu membuat dua perkara: 
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR 
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!
Nasihat dan saranan ini amat berguna kerana ianya datang daripada seorang yang amat berjaya dalam perniagaannya. Paul Getty membuat kesimpulan ini berdasarkan pengalamannya sebagai seorang usahawan yang bermula sejak dari peringkat bawah hinggalah menjadi seorang bilionaire minyak. 
Sebelum mencapai kejayaan, beliau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan yang amat mencabar. Namun, wawasannya yang besar serta semangat beraninya yang begitu tinggi menjadi asas pemacu utama kejayaan Paul Getty. Beliau tidak mengenal erti putus asa. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan kepadanya supaya memberhentikan sahaja usahanya yang banyak mengalami kegagalan. Namun, semangat wajanya tetap utuh.
Mencari telaga minyak bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan usaha pencarian dan penggalian yang memerlukan teknologi yang tinggi dan semangat jitu. Pada masa itu, teknologi pencarian dan penggalian minyak masih agak primitif. Namun, semangat menyala-nyala beliau yang sukar dipadamkan, serta keberanian, usaha gigih dan keyakinannya yang begitu tinggi akhirnya membawa kejayaan besar kepada Paul Getty dalam bidang perniagaan.

Beliau juga telah meluaskan operasi perniagaannya dengan menjadi pengimport minyak dari negara-negara Timur Tengah. Pengluasan perniagaannya dari segi geografi juga adalah selaras dengan wawasan besar dan semangat berani beliau.
Daripada cebisan kisah hidup Paul Getty ini dapatlah kita simpulkan bahawa: 
  • Kejayaan tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan nasib. 
  • Untuk mencapai kejayaan, matlamat kita mestilah jelas; berani mencapainya dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dan putus asa.
Matlamat jitu merupakan asas dan kompas menjana kejayaan. Ianya merupakan tunjang pendorong, agar kita tidak mengenal erti putus asa, kecewa dan malas berusaha. Kejayaan dan kesenangan hidup hanya dapat dicapai melalui keberanian dan usaha gigih. Jadi, kita mesti ada ‘target’ untuk mendapat keputusan yang flying colours. Good Luck sahabat-sahabat...


Tuesday, December 13, 2011

Dalam Sujud Cintaku






Judul : Dalam Sujud Cintaku
Album :
Munsyid : Abd Halim - Devotees
http://liriknasyid.com

Kau berikanku segala-galanya
dan Kau mengujiku dengan cinta dunia
yang sungguh indah dan
Kau hiaskannya dengan intan permata
dengan jua wanita
dan kedudukan yang memalingkanku
daripada-Mu

Dalam menikmati kurniaan-Mu
tak terucap lafaz terima kasihku
namun untuk jadi yang terbaik
juga masih belum kumampu

Dalam sujud cintaku
fanaku diulit rindu
getirnya cemas di kalbu
takut hidup tanpa redha-Mu

Hanya kerna-Mu Tuhanku
aku hidup dan ku akan
kembali pada-Mu
hanya pada-Mu dalam
sujud cintaku.





Wednesday, November 23, 2011

POTRET


Assalamualaikum..wbt dan Salam Sejahtera.
Pantun  empat kerat pembuka pena,
WANITA solehah lembutnya hati,
Hati berpaut pada yang Hakiki,
Semerbak haruman wangian kasturi,
Itulah dia seindah  MAWAR BERDURI.

Potret yang dibentangkan disebelah boleh diungkapkan dengan pelbagai analogi oleh semua insan termasuklah  saya sebagai seorang mahasiswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Di sini, sukacita saya berbicara dan berkongsi secara ilmiah dengan pembaca yang budiman tentang apa yang tersurat dan tersirat disebalik bunga mawar seperti di dalam potret ini.  Oleh yang demikian, sekilas pandang mata melihat, sekuntum bunga mawar tersebut indah dan mekar kuntumanya, cantik dipandang dan harum baunya.  Namun, apa yang tersiratnya adalah di sekililingnya terdapat duri yang menjalar yang mana boleh diibaratkan pagar atau senjata yang menghalang si Adam melangkaui atau menerobos sempadan diri seorang insan yang bergelar  Hawa.  Pendek kata, wanita  solehah ibarat Mawar Berduri atau dalam bahasa Arab adalah Wardatuss Syauqah.
Menyingkap kepada isu semasa dekad ini di seantero dunia, hari demi hari kita telah disajikan dengan warta berita yang menyentuh tentang  isu-isu  banyaknya  gejala sosial yang berlaku keatas remaja wanita sama ada kes rogol, penyalahgunaan dadah, bunuh diri dan seumpamanya.   Statistik kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan sebagainya makin meningkat .   Adakah ‘mawar-mawar’ sekarang sudah tidak berduri lagi?.   Mana silapnya? Angkara siapa pokok pangkalnya?.  Sebagai seorang wanita marilah sama-sama kita renungkan kemana arah tuju kita yang hakiki, apa matlamat hidup kita yang sebenar dan dari mana asal usul kita.  Bagi menjawab segala persolaan yang di utarakan ‘Tepuk dada tanya Iman’ bukan tanya Aiman.  Seindah wanita adalah wanita yang cantik lagi solehah.  Suka saya memetik bait kata-kata dalam sebuah lagu nasyid ‘ Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah’.

Selain daripada itu,  suka untuk saya berkongsi dengan pembaca yang intelektual dengan  menyelak hadis-hadis  Rasulullah s.a.w yang menerangkan tentang wanita.
Rasulullah s.a.w  bersabda yang bermaksud:
‘Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah’.          (HR Muslim).
Rasulullah s.a.w  bersabda yang bermaksud:
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya furaqa’(orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.”                                                                (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kemudian dalam hadis yang lain juga, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka  dan baginda bersabda:
“…dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta.  Mereka tidak masuk Syurga dan mendapat wangian Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.”                                                   (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Didalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w dan oara sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan panjang, Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka.  Ketika baginda melihat Neraka, baginda bersabda kepada para sahabatnya:
“… dan aku  melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanykan penghuninya adalah kaum wanita.  Para sahabat pun bertanya: “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi: “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya.  Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu(yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata: “Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.”                                                            (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari).
Konklusinya, berbalik kita kepada fitrah kejadian manusia, sama-samalah kita membina individu Muslim yang sejati dan bukan setakat Muslim ‘automatik’.  Fikir-fikirkanlah sejenak wahai pembaca yang budiman.  Tingkatkan fikir dan zikir. Kini, sampai sudah di pengakhiran pena, penulisan ini tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan sekadar perkongsian ilmu dan peringatan sesama kita termasuk saya sendiri yang bergelar seorang wanita.  Bersuluhkan kepada sabda Rasulullah s.a.w, “Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.”(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi).  Semoga kaum wanita sentiasa dirahmati oleh Allah walaupun  ramai antara penghuni Neraka adalah wanita dan insyaAllah, kini dan selamanya dengan mengikut sunnah Nabi s.aw diatas, saya akan berkongsi berbagai informasi, renungan, hikmah dan apapuun yang terkait dengan Islam.  Semoga niat baik ini diredhai oleh Allah s.wt.
Demikianlah, ‘SEINDAH MAWAR BERDURI’.
Ku damba kasih Ilahi….
‘Al faqir  ila Robbiha’(yang teramat faqir kepada Tuhannya)

WAN AMANINA BINTI WAN ARIFIN, Pengerusi Helwani Kelab Iqra' sesi 2011/2012




=====================“STRIVE TO MARDHOTILLAH”=====================



Saya persembahkan kepada kalian sebuah puisi dan renungilah bait kata-kata puisi dibawah;
Wardah…
Selembut bicaramu, sehalus sentuhanmu
Secantik wajahmu, seindah namamu…
Dirimu bias melemahkan iman…
Seorang insan bernama Adam..
Hanya kerana dikau bergelar wanita.

Wardah…
Dirimu terlatak jauh di singgahsana suci
Dipagari dengan tembok berduri…
Suci dari segala noda dan dosa…
Dibajai dengan wadah kasih sayang…
Disirami dengan air mata keinsafan
Hatta suci mewangi selamanya…
Semerbak harum wangian kasturi.

Wardah…
Hiasilah dirimu dengan akhlak mahmudah
Basahkanlah bibirmu dengan lafaz zikrullah…
Serikanlah wajahmu dengan titisan wudhu’…
Jadikanlah malu itu mahkota hiasanmu
Jua perisai buat dirimu…

Wardah …
Bisakah Adam menagih secebis cintamu
Maeraih sentuhan kasih sayangmu..
Andai dikau membisu seribu bahasa…
Dalam ketulusan cinta yang kau harapkan…
Pada KhaliqMu….Rabbul Izzati
Bisakah wardah?

Wardah …
Jadilah dirimu bunga yang suci
Sebagai mawar inspirasi setiap mujahid
Menuju lorong-lorong kebenaran…
Kerana disana…
Telah tercipta satu jalan untukmu
Menuju taman yang ekkal abadi…
Dalam redah Ilahi.

Nurkilan: Pendidik Bumi Kenyalang.



Saturday, November 5, 2011

Ibrah Pengorbanan - Salam Aidil Adha -


SEJARAH KORBAN
Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah Ta’ala
(Syeikh Daud al-Fathoni, Furu’ al-Masail, Juz 1: 259).
Sejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (anak) daripada golongan orang-orang yang soleh. Maka kami (Allah) gembirakan dia dengan (mendapat) anak yang penyantun. Tatkala sampai (umur) sianak boleh berusaha, berkata Ibrahim: “Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam tidur (mimpi) bahawasanya aku akan menyembelih engkau, oleh sebab itu lihatlah (fikirlah) apa pendapatmu?” (Sianak yakni Nabi Ismail) menjawab: “Wahai bapaku! Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu, nanti engkau akan mendapati aku – insyaAllah daripada golongan orang-orang yang sabar.”
(Al-Soffat: 100-102)

Menyembelih qurban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syi‘ar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah Ta‘ala yang maksudnya: “Daging dan darah binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu”.
(Surah Al-Hajj:37)

                                                                Renungan Bersama:

Korban itu bukan semata-mata pada binatang.
Itu hanyalah majaz, untuk pengorbanan yang lebih besar, yang perlu dilakukan seorang insan.
Mengorbankan kehendak nafsunya,
untuk tunduk kepada perintah Allah Yang Memberikan Arahan
 Tiada kejayaan tanpa pengorbanan - Hilal Asyraf-

Tuesday, October 11, 2011

KFN " Aku Cantik Aku Solehah" mendapat sambutan



Alhamdunillah Kuliah Fiqh Nisa' (KFN) baru-baru ini berlangsung dengan jayanya. Ramai pelajar perempuan dan juga pensyarah yang hadir, untuk mendengarkan, kuliah dari Ustazah Nurul Huda.




                             Kehadiran yang ramai sehingga ada yang tidak dapat duduk di kerusi.



                                      Pelbagai persoalan yang ditanya dan dijawab oleh ustaah mengenai wanita.

           Timbalan Helwani Kelab Iqra' memberi cenderahati penghargaan kepada Ustazah Nurul Huda.

Tahniah dan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan KFN kali ini.