…Bismillahirrahmanirrahim..
…Assalamu’alaikum
warahmatullahi wabarakatuh…
Nak dapat pahala..senang tak?
Kalau saya tanya anda, mahukah anda mendapat pahala? Siapa yang tak mahu
kan…orang yang tolong orang lain pun mengharap mendapat balasan yang baik hasil
dari kebajikan yang dia sudah lakukan. Ibarat membeli biji benih bunga, kita
akan mula menanamnya, menjaganya, dan kemudian mengharap suatu hari nanti biji
benih itu akan tumbuh dan mengeluarkan bunga yang cantik. Jadi, pasti anda dan
saya pun nak dapat pahala. Tapi, nak dapat pahala ni senang kah?
Nabi Muhammad S.A.W merupakan kekasih
ALLAH S.W.T, orang yang paling mulia dalam kalangan manusia dan mempunyai
akhlak yang terbaik serta perlakuan Rasulullah diakui tindakan yang terbaik.
ALLAH menyatakan ketinggian akhlak S.A.W di dalam surah al-Qalam ayat 4;
“Dan
sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
Perjalanan hidup seorang Muslim…
Di sini saya ingin kongsikan di antara
sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W yang sangat sesuai dipraktikkan dalam kehidupan
seharian, yang digarap daripada isi kandungan buku ilmiah ‘Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan
Rasulullah S.A.W’. Penulis dalam buku ini banyak merujuk kepada hadis-hadis
sahih dari Rasulullah S.A.W yang menceritakan keadaan amalan beliau dalam
kehidupan seharian dan kitab-kitab huraian hadis (syarah hadis). Wahai
pencinta-pencinta Sunnah Rasulullah, sunnah yang anda lakukan kerana ALLAH dan
kerana ingin mencontohi Rasulullah akan menjadi bukti cintamu terhadap baginda,
Nabi kesayangan kita. Justeru, daripada mencontohi Rasulullah, kita akan
mendapat pahala.
Allahumma Solli ‘Ala Saidina Muhammad…
Apabila Rasulullah bangun sahaja dari tidur, baginda akan menyapu
kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan. Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar
merekodkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan
menggunakan tangan apabila bangun dari tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah
S.A.W ;
“Rasulullah S.A.W bangun daripada tidur lalu beliau duduk sambil menyapu
kesan-kesan tidur pada wajahnya” (HR
Muslim)
Memuji ALLAH sebaik sahaja sedar dari
tidur yang lena, tak lena, tak cukup, ataupun terlebih tidur, merupakan amalan selepas
bangun tidur yang Rasulullah amalkan. Bacalah doa bangun daripada tidur dan
digalakkan bersugi ataupun menggosok gigi untuk mengembalikan kesegaran tubuh
badan dan dapat membuang bau mulut yang tidak menyenangkan. Mudah kan nak dapat
pahala?
Sabda Rasulullah S.A.W;
“Sekiranya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka
bersugi setiap kali ingin solat” (HR
Bukhari dan Muslim)
Kata baginda lagi dalam Hadis Riwayat Imam Ahmad;
“Bersugi adalah menyucikan mulut dan mendapat keredhaan ALLAH”
Amalan lain yang sering Rasulullah
lakukan ialah, memakai kasut, memakai baju, makan dan minum, memasuki masjid,
menyikat rambut dan sebagainya segalanya dimulakan atau dilakukan dengan
menggunakan anggota kanan. Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W;
“Apabila kamu memakai pakaian hendaklah kamu memulakannya dengan anggota
kanan” (HR
Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah. Hadis ini adalah hadis sahih)
Apabila nak menanggalkan kasut, baju,
keluar dari masjid dan memasuki tandas pula, baginda akan memulakan daripada
anggota kiri.
Dimulakan dengan bismillah~
Imam Nawawi berkata, “Digalakkan membaca Bismillah,
memperbanyakkan membaca zikir dan memberi salam ketika masuk dan keluar rumah”.
Berzikir ketika memasuki rumah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W;
“Apabila
seseorang memasuki rumahnya lalu ia menyebut nama ALLAH ketika ia masuk dan
ketika ia makan syaitan akan berkata, “Tiada tempat untuk kamu menginap dan
tiada tempat untuk kamu makan”. Jika ia masuk tanpa menyebut nama ALLAH,
syaitan akan berkata, “Persilakan ini adalah tempat menginapmu” dan jika ia
tidak menyebut nama ALLAH ketika makan syaitan akan berkata, “Dipersilakan kamu
menginap dan makan” (HR Muslim)
Tahu tak, Rasulullah setiap kali ingin melakukan sesuatu, baginda akan
memulakannya dengan membaca Basmalah. Membaca Basmalah bukan sahaja mencontohi
Rasulullah, malah mencontohi ALLAH kerana di dalam al-Quran, ALLAH memulakan
firman-Nya dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim. Pernah suatu ketika
Rasulullah sedang solat, baginda membaca Bismillahirrahmirrahim sebanyak 21
kali. Apa lah agaknya yang Rasulullah rasakan ketika melafazkan kalimah
Basmalah. Alangkah indah kalau kita dapat merasakan perasaan yang sama seperti
perasaan Rasulullah ketika menyebut lafaz Basmalah tersebut.
Jom ke masjid atau surau!
Di dalam firman ALLAH S.W.T daripada surah At-Taubah, ayat 18;
“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid ALLAH hanyalah orang-orang yang
beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat,
menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada ALLAH…”
Masjid atau surau ibarat nadi kepada
kampung ataupun sesuatu tempat. Sekiranya nadi itu hidup, maka ‘bercahaya’ lah
kampung itu, dan jikalau nadi itu lemah atau mati, maka ‘malap’ lah kerohanian
kampung itu. Sunnah Rasulullah ketika pergi ke masjid termasuklah bersegera
pergi ke masjid. Sabda Rasulullah S.A.W;
“ Sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya ganjaran yang terdapat
pada seruan azan dan saf pertama dan mereka tidak dapat memperolehinya
melainkan dengan mencabut undi, maka mereka akan mencabut undi untuk mendapat
kelebihannya, dan sekiranya manusia mengetahui besarnya ganjaran solat Zohor di
awal waktu, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan jika mereka
mengetahui ganjaran Isyak dan Subuh nescaya mereka akan mendatanginya walaupun
dalam keadaan merangkak” (HR Bukhari dan
Muslim)
“Apabila kamu mendengar iqamah, hendaklah kamu berjalan bagi tujuan solat
dan hendaklah kamu berjalan dengan sopan dan tenang”
“Mahukah kamu aku tunjukkan suatu amalan yang boleh menghapuskan dosa dan
meningkatkan darjat?” Para sahabat bertanya, “Ya wahai Rasulullah!” Beliau
memberitahu mereka antara amalan itu adalah banyak melangkah ke masjid”.
(HR Muslim)
Tegur menegur?
Sebagai seorang manusia yang hidup
dalam keadaan bermasyarakat, tentunya kita sering bertemu dengan orang ramai sama
ada orang itu dikenali namanya atau setakat wajahnya sahaja, ataupun ‘muka-muka
baru’ yang muncul dalam diari kehidupan seseorang. Sunnah Rasulullah ketika
bertemu sesama sendiri ialah memberi salam. Rasulullah S.A.W pernah ditanya;
“Apakah dia amalan Islam yang paling baik?” Baginda menjawab: “Kamu
memberi makan kepada orang dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan
orang yang engkau tidak kenal.” (HR
Bukhari dan Muslim)
Beruntungnya menjadi seorang Muslim!
Dalam Islam, senyum pun dapat pahala.
Mengapa pula? Sebab menghadiahkan senyuman itu suatu sedekah. Jika bertemu
dengan orang, tak kira siapa pun, senyumlah…jangan terasa sakit hati kalau
orang yang diberikan ‘sedekah’ tu tak nak senyum kembali dengan anda. Sabda
Rasulullah S.A.W;
“Janganlah kamu meremehkan sesuatu
kebaikan sedikitpun sekalipun ketika kamu bertemu saudara kamu dengan
menunjukkan wajah yang manis” (HR
Muslim)
Rasulullah S.A.W juga bersabda;
“Ucapan atau kata-kata yang baik itu adalah sedekah” (HR Bukhari dan Muslim)
Tambahan lagi, bersalaman ketika
bertemu adalah digalakkan pada setiap masa kerana setiap kali bersalaman dengan
saudara seIslam, ALLAH akan mengampunkan dosa kedua-duanya sebelum berpisah.
Ada tak sunnah Rasulullah S.A.W semasa makan
dan minum?
Ada…mestilah ada! Sunnah Sebelum dan Ketika Makan:
1 1)
Membaca bismillah
2 2)
Makan menggunakan
tangan kanan
3 3)
Mengambil makanan
yang berhampiran terlebih dahulu
4 4)
Mengambil suapan
yang terjatuh, menyapunya dan memakannya semula
5 5) Makan dengan tiga
jari. Ini adalah kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W dan inilah amalan yang paling baik ketika makan,
kecuali ketika ada keperluan lain.
(Nota: Rasulullah makan dengan tiga jari kerana makanan yang baginda
makan dengan menggunakan tiga jari ketika itu ialah buah kurma. Dalam Malaysia
pada hari ini, kita kebiasaannya memakan nasi, maka tidak mengapa jika
menggunakan semua jari. Sesuaikan sunnah Rasulullah mengikut suasana dan
keadaan semasa. Wallahu’alam…)
Manakala selepas makan pula,
Rasulullah selalu:
1 1)
Menjilat
sisa-sisa makanan yang terdapat pada pinggan dan jari untuk mencari berkat sebab
kita tidak tahu di manakah terdapatnya keberkatan dalam makanan yang kita makan
2 2)
Memuji ALLAH
selepas makan
Sunnah Rasulullah Ketika Minum:
1 1)
Membaca Bismillah
2 2)
Minum dengan
tangan kanan
3 3)
Bernafas di luar
gelas ketika minum sebanyak tiga kali dan minum sekali
6 4)
Minum dalam
keadaan posisi duduk
5 5)
Memuji ALLAH
selepas minum
“…Ingatlah,
hanya dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’d; ayat 28)
Dalam kehidupan sehari-hari, berusahalah untuk membaca al-Mathurat sama
ada al-Mathurat Sughro (kecil atau pendek) ataupun al-Mathurat Kubro (panjang)
selepas solat Subuh dan selepas usai solat Asar. Zikir-zikir, doa-doa, dan
ayat-ayat al-Quran yang terdapat di dalam al-Mathurat mempunyai banyak
kelebihan dan dapat menjadi pendinding diri pada waktu pagi dan petang. Perlu
diingat, tanamkan keyakinan terhadap Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan
perbaharuilah niat untuk melakukan sesuatu hanya kerana Dia, ALLAH S.W.T.
Alahai…mengantuk pula…
Mengantuk? Sebelum diri sendiri
melelapkan mata, sucikan diri daripada hadas kecil. Selepas itu, eloklah kalau
tempat tidur itu dilibas dahulu bak sabda Rasulullah S.A.W;
“ Apabila seseorang kamu masuk ke tempat tidur hendaklah ia mengibaskan
tilamnya, kerana ia tidak mengetahui apa yang ada di atasnya” (HR Bukhari dan Muslim)
Kemudian bacalah doa sebelum tidur,
ayat tiga Qul, dan ayat Kursi. Sebaiknya, tidur di atas rusuk atau lambung
kanan, dan meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan serta berzikirlah dengan
membaca;
SubhanALLAH, walhamdulillah, Wa la
ilaha ilallah, wallahuakbar sehingga terlelap.
Demikianlah antara sunnah Rasulullah
sebelum tidur.
Kesimpulan…
Sebagai kesimpulannya, Islam sudah
mengatur kehidupan seorang Muslim dengan tatalaku yang sangat tertib dan
berupaya membentuk diri anda dan saya menjadi lebih teratur dan lebih berakhlak
dengan mencontohi perlakuan seorang suri teladan yang baik iaitu Rasulullah S.A.W.
Akhir kalam, simpanlah dalam fail memori kita petikan ayat al-Quran yang sangat
menyentuh hati saya dan mungkin akan memberi kesan dalam hati anda juga, wahai
muslimin dan muslimat, si pencinta sunnah Rasulullah. Moga dapat menjadi
peringatan buat diri untuk terus istiqamah dalam mengikuti sunnah baginda.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-‘Imran, ayat 31;
“Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai ALLAH, (maka) ikutilah aku,
nescaya ALLAH mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu,” ALLAH Maha Pengampun,
Maha Penyayang.”
…Sekian…
…Wallahu’alam
bissawab…
Oleh :
Nurul ‘Aisyah Binti Fadhlul Hadi
Lajnah Penerbitan dan Multimedia Kelab
Iqra’